Monday, January 24, 2011


Adun Pelabuhan Klang mahu cabar keputusan Speaker petang ini



[postlink]https://lpdn28.blogspot.com/2011/01/adun-pelabuhan-klang-mahu-cabar.html[/postlink]
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah ketika bertemu media selepas dilarang dari memasuki Sidang DUN Selangor di Shah Alam, Isnin.
SHAH ALAM, 24 Jan — Wakil rakyat Badrul Hisham Abdullah berkata beliau akan mengemukakan permohonan di Mahkamah Tinggi hari ini bagi mencabar keputusan Speaker DUN Datuk Teng Chang Kim.

Teng telah pun memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai kekosongan kerusi Pelabuhan Klang minggu lalu. Bagaimanapun Badrul Hisham menegaskan beliau masih seorang wakil rakyat yang sah.

“Ya, saya akan ke Mahkamah Tinggi kemudian, selepas tengah hari,” kata Badrul Hisham sejurus selepas memasuki bangunan DUN di sini hari ini.

Ketika ditanya mengapa beliau hadir sidang khas DUN sedangkan Teng mengisytiharkan beliau bukan lagi seorang wakil rakyat, Badrul Hisham menjawab beliau ada menerima jemputan “formal” selaku Adun.

“Saya menerima undangan, jadi saya berada di sini dengan kawan-kawan BN saya,” katanya dengan senyuman.

Badrul Hisham kemudian ditahan oleh pengawal daripada memasuki Dewan dan duduk di bilik media.

“Bagi saya, saya masih Adun yang sah bagi kawasan Pelabuhan Klang.

“Selagi SPR tidak kata apa-apa saya akan menjalankan tugas saya,” kata beliau pada sidang media di bilik media.

Katanya, jika pun beliau dibenarkan mengambil bahagian pada sidang khas hari ini wakil rakyat penggal pertama itu akan tetap membantah usaha meminda perlembagaan.

“Saya sama sekali tidak akan bersetuju dengan pindaan,” kata bekas pemimpin PKR ini.

Kemudian beliau meninggalkan bangunan DUN.

Laporan sebelum ini menyebut Badrul Hisham akan menggunakan saluran undang-undang bagi mempertahankan kedudukannya sebagai Adun Pelabuhan Klang selepas Teng mengisytihar kerusi DUN itu sebagai kosong ekoran kegagalan beliau menghadiri persidangan dewan selama enam bulan tanpa alasan munasabah.

Badrul Hisham berkata beliau akan memfailkan permohonan di mahkamah hari ini bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau masih lagi wakil rakyat Pelabuhan Klang yang sah.

Beliau seterusnya mengesahkan akan menghadiri persidangan khas hari ini.

Teng mengisytiharkan kerusi DUN Pelabuhan Klang yang disandang Badrul Hisham kosong kerana kegagalannya menghadiri persidangan Dewan dalam tempoh enam bulan tanpa alasan munasabah, berdasarkan Perkara 69 dan 70 perlembagaan negeri dan tiada peruntukan untuk rayuan.

Badrul Hisham memenangi kerusi DUN Pelabuhan Klang atas tiket PKR pada pilihan raya umum 2008 dengan majoriti 4,407 undi menewaskan calon BN serta calon bebas, sebelum meninggalkan PKR pada Oktober 2009 untuk menjadi Adun bebas mesra BN pada 2009, dan menyertai Umno pada April tahun lepas.

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3