Monday, July 6, 2009


Bakar al-Quran di masjid



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2009/07/bakar-al-quran-di-masjid.html[/postlink]

Posted: 04 Jul 2009 08:13 PM PDT

Oleh:KP
petikan harian metro

KOTA SARANG SEMUT: Belum sampai 24 jam dibebaskan dari penjara, seorang lelaki yang juga penagih dadah dipercayai membakar 30 naskhah al-Quran yang disimpan dalam sebuah masjid di Kampung Tualang, Selasa lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, bekas banduan berusia 30-an yang baru dibebaskan dari penjara pada pagi sebelumnya itu memasuki masjid berkenaan sebelum mengambil 30 al-Quran itu yang diletakkan di atas rak dan membakarnya di ruang solat.

Kejadian itu hanya disedari jemaah yang mahu menunaikan solat Subuh beberapa jam selepas itu.

Siak masjid berkenaan, Abdul Hamid Shafie, 70, berkata dia terkejut apabila penduduk kampung memaklumkan mengenai kejadian itu sebaik dia tiba untuk menunaikan solat Subuh.

“Sebaik tiba, saya nampak ramai penduduk berkumpul di pekarangan masjid sementara asap memenuhi ruang solat. Saya sangkakan masjid terbakar, bagaimanapun dimaklumkan ada individu menceroboh masjid dan membakar al-Quran,” katanya ketika ditemui di kampung berkenaan, semalam.

Katanya, sepanjang usianya dia tidak pernah mendengar ada pihak sanggup membakar al-Quran dalam masjid.

“Mujur api tidak marak kerana al-Quran itu dibakar di atas simen, jika tidak pasti masjid ini rentung. Perbuatan ini bukan saja mencemarkan rumah Allah, tetapi menunjukkan sikap keji lelaki terbabit,” katanya.

Abdul Hamid berkata, masjid itu tidak berkunci kerana ia bertujuan memudahkan penduduk atau orang luar menunaikan solat pada bila-bila masa.

Menurutnya, lelaki itu yang juga penduduk kampung itu pernah melakukan tindakan hampir sama tiga bulan lalu apabila dia mencampakkan beberapa naskhah al-Quran dalam kolah masjid.

Tindakannya itu menyebabkan penduduk mengutip al-Quran itu sebelum menjemurnya sehingga kering.

“Dia kerap keluar dan masuk penjara. Apabila melihat al-Quran itu terbakar, kami tahu ia perbuatannya kerana dia baru saja dibebaskan dari penjara atas kesalahan mencuri.

“Saya tidak faham mengapa lelaki itu sanggup bertindak demikian. Mungkin dia hilang pertimbangan dan tidak dapat mengawal diri,” katanya.

Kejadian itu menyebabkan masjid berkenaan kini hanya memiliki senaskhah al-Quran yang tidak sempat dibakar lelaki itu.

Abdul Hamid berharap ada pihak tertentu untuk menyumbangkan al-Quran untuk kemudahan jemaah di masjid itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu, ketika dihubungi, berkata polis sudah menahan lelaki terbabit Selasa lalu dan direman sehingga hari ini.

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3