Thursday, May 20, 2010


Anak Ashaari: Jangan sensasikan kematian Abuya



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/05/anak-ashaari-jangan-sensasikan-kematian.html[/postlink]
RAWANG, 20 Mei — Keluarga Allahyarham Ashaari Muhammad mengaku mengadakan pantomin memperingati kematian pengasas Al-Arqam Isnin lau tetapi menegaskan, ia hanya diadakan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat semata-mata.

Malah mereka juga tidak mahu orang ramai mensensasikan kematian bekas pemimpin Al-Arqam itu.

Mohd. Ikramullah, 44, anak keenam Ashaari berkata, program tersebut hanya satu bentuk kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa mendekatkan diri dengan Allah.

“Pantomin itu hanya untuk sampaikan nasihat kepada masyarakat supaya sentiasa meninggalkan segala amalan yang negatif termasuk nafsu.

“Tajuk yang diberikan itu sebenarnya tidak mempunyai sebarang maksud bahawa Allahyarham akan hidup balik, pulang bermaksud kembali ke tempat asalnya.

Mohd. Ikramullah berkata, perjuangan Islam akan tetap diteruskan sampai bila-bila walaupun tanpa Allahyarham.

“Lagipun sebelum Allahyarham meninggal beliau berpesan supaya sentiasa mendekatkan diri dengan Allah.

“Allahyarham juga berpesan dunia ini hanya sementara dan semua amalan negatif dan nafsu buruk perlu disingkirkan sebelum hari kiamat,” kata Mohd Ikramullah lagi.

Satu pantomin bertajuk “Kalahkan Nafsu, Abuya Pulang” telah diadakan selama dua mulai Isnin lalu bertujuan sebagai satu kesedaran kepada kepada masyarakat.

“Hidup yang abadi ialah diakhirat, jadi Allahyarham akan pulang ke akhirat dengan selamat sekiranya semua orang yang menyayanginya itu bertaubat,” katanya ketika sidang media di Bandar Country Homes dekat sini petang ini.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, kerajaan masih memantau pergerakan Al-Arqam, pertubuhan agama yang telah diharamkan 16 tahun lalu.

Sehubungan itu kata beliau, rakyat Malaysia tidak harus risau dengan Al-Arqam walaupun ada pihak yang mendakwa pengasasnnya yang meninggal dunia Khamis lalu akan kembali semula.

Laporan media hari ini menyebut pengikut-pengikutnta percaya Ashaari atau lebih dikenali sebagai Abuya akan pulang semula dalam masa terdekat.

Pengikutnya didakwa mengadakan konsert khas bagi menggambarkan kononnya bekas pemimpin kumpulan Al-Arqam itu cuma ghaib dan akan pulang semula dalam masa terdekat.

Konsert ‘Kalahkan Nafsu Abuya Pulang’ yang diadakan di Bandar Country Homes diselitkan dengan nyanyian nasyid dan bacaan puisi yang antara lain memuji Ashaari sebagai pemimpin hebat, manakala persembahan pantomin menunjukkan Abuya terlantar sakit dengan rohnya berdiri di sampingnya.

Anak sulung Ashaari, Fakhrur Razi yang memangku jawatan Pengerusi Eksekutif Global Ikhwan Sdn Bhd dalam ucapan pembukaan konsert itu didakwa berkata, Abuya sebenarnya hanya pergi sementara dan akan kembali dengan jasad yang hidup bagi memimpin umat Islam.

Ashaari, 72, meninggal dunia kerana jangkitan paru-paru Khamis lalu.

Tambah Mohd Ikramullah, pihak keluarga akan mengambil tindakan undang-undang sekiranya masih ada pihak yang “mensensasikan” kematian pengasas Al-Arqam itu.

“Kita akan mengambil undang-undang kepada pihak yang masih meneruskan perbuatan yang memecah-belahkan masyarakat ini.

“Sungguh menghairankan bagaimana ada pihak yang boleh salah tafsir tentang apa sebenarnya yang berlaku.

“Tanpa izin kami mereka telah melakukan perkara yang bahaya, perkara yang sepatutnya hanya untuk ahli keluarga didedahkan kepada umum,” katanya.

Beliau berkata pihak keluarga menerima pemergian Allahyarham dengan hati yang terbuka dan tiada sebarang agenda tersembunyi untuk mensensasikannya.

“Pada 13 Mei Allahyarham telah berhenti bernafas dengan disaksikan oleh ahli keluarga dan dikebumikannya di Kampung Pilin.

“Cuma ramai yang bertanya apakah pesanan-pesanan Allahyarham sebelum meninggal dunia.

“Jadi untuk memberikan jawapan yang memuaskan hati dan tidak menimbulkan masalah kami terpaksa mengambil langkah selamat dengan mengatakan Allahyarham akan pulang sekiranya perjuangan diteruskan,” katanya.

Menurutnya, untuk tidak melunturkan semangat ahli dan kakitangan dalam Global Ikhwan pihak keluarga terpaksa mengambil langkah tersebut.

“Sekiranya kami mengatakan Allahyarham telah pergi buat selama-lamanya bimbang syarikat Global Ikhwan akan kehilangan pekerja.

“Jadi kami terpaksa mengatakan sedemikian Abuya pulang jika kita teruskan perjuangan untuk membangkitkan semangat mereka.

“Kami tahu Allahyarham tidak mungkin akan hidup kembali cuma ia sebagai satu kata-kata semangat supaya nanti mereka boleh menerima pemergian Allahyarham,” katanya.

Difahamkan Global Ikhwan mempunyai 3,000 kakitangan dengan 1,000 cawangan di seluruh dunia termasuk Indonesia, Singapura, Thailand, Jordan dan Mesir.

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3