Monday, May 24, 2010


Keluarga Mangsa Mati Ditembak Polis Di Melaka Tuntut Penjelasan



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/05/keluarga-mangsa-mati-ditembak-polis-di.html[/postlink]

MASJID TANAH 24 Mei - Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Melaka, Shamsul Iskandar Mohd Akin meminta pihak polis memberi penjelasan berhubung insiden kematian Mohd Fairulizam Bin Mohammad, 30, yang mati ditembak dalam satu kejadian di Paya Rumput, Melaka tahun lepas.

Gesaan itu dibuat Shamsul di dalam satu ceramah yang diadakan di Markaz Pas Jalan Hujan Panas, Masjid Tanah malam Ahad baru-baru ini.

"Kami mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop untuk datang sendiri melawat keluarga mangsa dan membantu bagi mendapatkan keadilan. Apatah lagi, kejadian ini berlaku di Masjid Tanah, iaitu kawasan parlimen yang beliau sendiri wakili.

"Kami menganggap pihak polis telah menyalahgunakan kuasa dan mengambil kesempatan dengan melakukan sesuatu di luar prosedur operasi. Kini, selepas hampir setahun, pihak polis masih belum memberikan sebarang jawapan kepada keluarga mangsa tentang kejadian yang berlaku," tegasnya lagi.

Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda KEADILAN turut berkata beliau kesal dengan insiden tersebut sambil meminta pihak ketiga yang bebas diwujudkan bagi menjalankan siasatan termasuk rentetan kes-kes yang melibatkan kematian dalam operasi pihak polis.

Dalam kejadian yang berlaku pada Oktober 2009, mangsa yang merupakan pesakit mental disyaki terlibat dalam satu kejadian amuk telah diminta oleh pihak polis untuk menyerahkan diri.

Ketika serbuan dilakukan, mangsa dikatakan telah meloloskan diri dan membawa lari kenderaan peronda polis keluar dari perkarangan rumahnya. Polis telah mengejar suspek hingga ke jalan raya berdekatan.

Tidak lama selepas itu, bapa mangsa, Mohammad memaklumkan yang dia ada terdengar bunyi letupan yang kuat sebanyak tiga kali tidak jauh dari rumah mereka.

Beliau kemudiannya mengetahui kematian anaknya selepas beliau pergi ke Balai Polis Masjid Tanah.

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3