Sunday, May 23, 2010


Sibu tali gantung buat Anwar



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/05/sibu-tali-gantung-buat-anwar.html[/postlink]Oleh: Hishamuddin Rais

Saudaraku yang baik hati,

Aku menulis surat ini di pagi sesudah Pakatan Rakyat memenangi kerusi Sibu. Aku tahu bahawa kaum kerabat Pakatan sedang dalam keriangan. Syabas! Aku tahu kau juga sedang tersenyum puas kerana kemenangan ini. Aku hanya ingin sama berkongsi riang.

Kemenangan di Sibu rasa aku adalah kemenangan rakyat yang mahukan perubahan. Kemenangan itu adalah manifestasi kebencian majoriti warga Sarawak yang telah bosan dengan tindak tanduk dan rompakan gerombolan manoriti pemimpin politik Sarawak.

Hari-hari akhir hegemoni seorang pemimpin Melanau telah kelihatan. Ini aku amat yakin.

Sebelum kau terus membaca surat aku ini, aku perlu minta maaf terlebih dahulu. Ini kerana surat ini akan membawa berita yang tidak akan mententeramkan hati kau.

Aku sebenarnya adalah pembawa ayat-ayat songsang. Aku pembawa ayat-ayat setan yang selalu tidak menyenangkan hati. Aku menjadi perawi yang membawa surah-surah yang menggegarkan keyakinan diri.

Ingin aku beritahu bahawa isi surat ini telah aku fikirkan ketika kiraan undi semakin melonjak untuk Pakatan. Setiap kali undi melonjak setiap kali degup jantung aku bergegar. Apakah kau faham apa yang ingin aku katakan ini?

Aku mahu kau sedar bahawa kemenangan di Sibu adalah notis akhir untuk menghantar Anwar Ibrahim ke tali gantung. Kau faham?

Nah! Ke tali gantung - inilah ayat-ayat songsang yang ingin aku bawa ke hadapan muka kau. Ayat-ayat songsang ini mengerunkan bunyinya. Kau ulang baca sekali lagi: Kemenngan di Sibu adalah tali gantung untuk Anwar.

Ingatkah pada Lunas?

Mungkin kau anggap aku ini sasau dan kurang siuman. Kau salah. Atau aku ini selalu 'potong stim' dan merosakkan suasana ghairah di pesta. Kau salah lagi. Biar aku terangkan kenapa.

Begini kisahnya: Kau ingat pilihan raya kecil Lunas? Oh, maafkan aku, mungkin kau masih anak sekolah ketika itu. Atau kau tidak mengikuti politik semasa. Atau kau ketika itu sedang dilamun cinta berahi berpacaran.

Biar aku surahkan tentang Lunas ini. Pilihan raya kecil Lunas ini berjalan pada bulan November tahun 2000. Ini ketika Dr Mahathir Mohamad masih berkuasa.

Dalam pilihan raya kecil Lunas ini Saifuddin Nasution, calon Parti Keadilan Nasional (KEADILAN) - ketika itu belum bergabung dengan Parti Rakyat Malaysia (PRM) - telah menang.

Satu kemenangan yang amat memberangsangkan. Perasaan di Lunas ketika itu samalah seperti kemenangan di Sibu minggu ini.

Pemerhati politik melihat Lunas membawa tanda-tanda bahawa Dr Mahathir semakin di benci oleh rakyat. Imej Dr Mahathir sedang diperlecehkan rakyat di sana sini. Ini betul. Tetapi ada satu pekara yang gagal dilihat dan dibaca oleh pemerhati politik. Pekara ini ialah: Kuasa bukan mudah dilepaskan.

Kemenangan KEADILAN di Lunas telah membangunkan Dr Mahathir daripada tidurnya. Dr Mahathir terus merancang dengan licik untuk memastikan KEADILAN tumpas dan tidak dapat bergerak bebas.

Setahun sesudah pilihan raya kecil Lunas, Dr Mahathir menangkap 10 orang aktivis reformasi, termasuk pimpinan muda KEADILAN. Kesemuanya ditangkap bawah akta ISA.

Lebih penting daripada semua p'raya kecil

Berhadapan dengan kemenangan KEADILAN di Lunas, Dr Mahathir telah sedar bahawa imejnya amat dibenci rakyat. Selain menggunakan ISA, dengan liciknya Dr Mahahir telah melantik Abdullah Ahmad Badawi sebagai penggantinya.

Melantik Abdulah seumpama melantik seorang tukang kebun menjadi gabenor bank negara. Tetapi inilah kelicikan Mahathir Mohamad

Nah! Kau akan bertanya apa sangkut pautnya Lunas dengan Sibu? Bagaimana Sibu ini menjadi tali gantung untuk Anwar?

Sabar, sabar. Kau lupa bahawa Sibu ini lebih penting daripada seribu Lunas. Sibu lebih penting daripada semua pilihan raya kecil di semenanjung Malaysia. Ketika kau merayakan kemenangan di Sibu ini, aku ingin mengingatkan kau bahawa Sibu dan seluruh Sarawak, termasuk Sabah adalah peti duit simpanan untuk gerombolan.

Apabila kau menang di Sibu ertinya kau telah mula menghafal angka pin kepada peti duit simpanan gerombolan. Seperti aku katakan tadi: Kuasa bukan senang untuk dilepaskan. Kau sedang bermain dengan bahaya.

Yakinlah, ketika ini para gerombolan dari semenanjung sedang merancang untuk melupuskan Taib Mahmud daripada arena politik Sarawak. Gerombolan di semenanjung menganggap susuk si Taib ini adalah susuk yang paling di benci oleh warga Serawak.

Ini samalah seperti Dr Mahathir mencari penggantinya dahulu; kalau tidak diganti si Taib Mahmud, akan menuruti apa yang terjadi kepada Wan Mokhtar Wan Ahmad di Terangganu.

Apa ini ada sangkut paut dengan tali gantung?

Serangan bertalu-talu ke Sarawak

Ah! Kau kurang sedar bahawa Pakatan sedang mengancam keselamatan gerombolan. Kalau dahulu gerombolan hanya diserang di semenanjung tetapi kini serangan bertalu-talu telah beralih ke Serawak.

Ini tanda-tanda yang amat bahaya untuk gerombolan. Bank simpanan gerombolan telah mula pecah. Suasana ini amat merbahaya.

Aku yakin gerombolan - sesudah Sibu - akan bertindak ganas. Justeru Anwar perlu digantung secepat mungkin. Ini yang aku maksudkan dengan tali gantung daripada Sibu. Apakah kau tidak faham bahawa daripada kaca mata gerombolan - mereka melihat nyawa dan kuasa hanya dapat diselamatkan dengan memenjarakan Anwar.

Jika Anwar terus bergerak di luar penjara maka tali gantung ini akan beralih menjerut kepala mereka sendiri.

Aku tahu masih ada kawan dan teman-teman yang membaca bahawa sandiwara yang sedang dipentaskan di mahkamah Jalan Duta ini akhirnya akan membebaskan Awar Ibrahim.

Saudaraku yang baik hati,

Aku harap kau tidak tersalah anggap apabila kau melihat sandiwara di mahkamah yang sedang dipentaskan ini. Aku tahu bukan semua anggota gerombolan yang mahu Anwar di penjara. Ada yang memiliki jalur pandangan yang berbeza.

Mereka merasakan jika Anwar di penjara maka masa depan gerombolan semakin bertambah gelap dan nyawa gerombolan akan bertambah pendek. Mereka ini tidak ramai.

Ilusi

Gulungan minoriti ini sesudah Sibu akan merasa diri mereka terancam sama jika Anwar masih bebas. Kini, aku yakin mereka juga mahu Anwar dipenjara secepat mungkin.

Sesudah kemenangan Pakatan di Sibu, aku amat yakin kes Anwar akan dipercepatkan bagi memastikan beliau diketepikan daripada politik tanah air kita. Anwar wajib diketepikan sebelum pilihan raya Sarawak yang wajib diadakan sebelum akhir tahun 2011.

Kepada kau dan kawan-kawan dalam Pakatan, hanya satu harapan aku: Aku berharap kau tidak akan memiliki apa-apa ilusi tentang mahkamah. Aku juga berharap kau akan dapat memahami tentang kuasa.

Telah aku katakan beberapa kali - kuasa tidak mudah untuk dilepaskan. Di malam pengiraan undi di Sibu itu, kau sendiri dapat melihat bagaimana gerombolan dan apparatchik (pengikut setia) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerja keras untuk mengabui mata rakyat agar gerombolan terus menang.

Aku sebagai pembawa ayat-ayat songsang sekali lagi ingin mengingatkan kau bahawa konspirasi untuk melupuskan politik Anwar akan bertimbun.

Kau tunggu dan lihat. Hanya yang ingin aku ingatkan, dalam merayakan kemenangan di Sibu sedarlah bahawa tali gantung untuk Anwar Ibrahim semakin rapat.

Wassalam.

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3