Sunday, June 13, 2010


Presiden Pas : ‘Cita-cita menawan Putrajaya mimpi soleh’



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/06/hadi-cita-cita-menawan-putrajaya-mimpi.html[/postlink]

KOTA BARU, 13 Jun - Cita-cita PAS bersama Pakatan Rakyat untuk mengambil alih kerajaan pusat menerusi jalan demokrasi pilihan raya umum adalah “satu mimpi soleh”, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini.

“Orang kata kita bermimpi, tapi ini mimpi soleh,” kata Presiden PAS itu ketika menggulung perbahasan Muktamar Tahunan PAS Ke-56 hari ini.

Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata dalam Islam ada “mimpi syaitan dan mimpi soleh, mimpi yang diajar (ditekankan) oleh al-Quran.”

“(Harapan menawan Putrajata) ini bukan mimpi... akan tiba masanya kita akan menawan Putrajaya untuk menyelamatkan negara... akan tiba masa, bukan perkara yang mustahil.

“Alhamdullillah, kita berada di bahtera yang sangat kuat, bahtera ajaran Islam,” kata beliau lagi.

Sehubungan itu, Hadi yang memimpin PAS sejak 2002 turut meminta para penyokong dan ahli PAS supaya “bersama bahtera” perjuangan parti itu dalam usaha mencapai mimpin mereka.

Malah Hadi juga menasihatkan mereka yang tidak sabar dalam perjuangan PAS supaya tidak bertindak keluar untuk menyertai parti lain.

“Saya minta penyokong dan ahli-ahli bersama bahtera, jangan bocorkan bahtera, jangan rosakkan bahtera walaupun pelayaran sangat lama... hanya kerana pelayaran terlalu lama jangan ada yang terjun.

“Yang akan terjun dari bahtera tidak akan selamat... walaupun rebut kuat, Allah menjadikan bahtera kita selamat,” kata beliau dipercayai merujuk kepada perjuangan PAS yang bermula enam dekad lalu.

PAS akan menyambut ulang tahun penubuhan ke-60 tahun depan. Sepanjang enam dekad perjuangan ini ia memerintah Kelantan dan Terengganu.

Dengan kerjasama PKR dan DAP menerusi Pakatan Rakyat yang dibentuk dua tahun lalu PAS berada dalam pentadbiran kerajaan negeri Kedah, Pulau Pinang dan Selangor.

Pakatan Rakyat juga memenangi Perak tetapi ia jatuh awal tahun lalu selepas tiga wakil rakyat — masing-masing dua dari PKR dan seorang dari DAP melompat keluar parti. Buat pertama kali Pakatan Rakyat menafikan majoriti dua pertiga dimiliki Barisan Nasional di Parlimen.

Dalam ucapan penggulungannya, Hadi juga mengulangi pendirian PAS untuk menolak idea kerajaan perpaduan dengan Umno-BN, isu yang menjadi perhatian sejak selepas pilihan raya umum 2008.

Hadi berkata, tiada manfaat untuk meneruskan hubungan dan kerjasama dengan parti-parti yang memikul rasuah dan meneruskan beban kepada negara.

Hadi berkata Umno berkempen untuk memburuk-burukkan PAS di kalangan orang Melayu selepas langkah partiitu mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

“Dewan Himpunan Penyokong PAS tidak sama dengan kerjasama Umno dengan rakan-rakan BN,” katanya.

“Dalam PAS kerjasama adalah berdasarkan ajaran dan prinsip Islam.

“Kerjasama Umno dengan bukan Islam tidak berlandaskan prinsip Islam,” katanya.

Hadi juga menekankan bahawa bantahan terhadap pendekatan pragmatik PAS selalunya menerima bantahan atau dikritik banyak pihak termasuk usaha untuk membuka keahlian kepada Islam beberapa dekad yang lalu.

“Mereka yang tidak bersetuju seolah-olah menunjukkan kebimbangan (mereka), kita faham apa sebabnya... mereka ini juga 50, 60 tahun lalu mengatakan bahawa PAS tidak boleh memerintah kerana parti ini parti Islam, Malaysia negara majmuk.

“Ini kerana sempitnya pemikiran mereka, sebagaimana dikatakan oleh Tok Guru Datuk Nik Aziz (Nik Mat)... kerana mereka membelajari Islam secara sempit, pemahaman sempit,” katanya.

“Kerjasama kita dengan orang bukan Islam dan PAS diizinkan oleh (hukum) syarak... kerjasama antara Umno dan bukan Islam menggadaikan prinsip dan tidak boleh jadi contoh kepada orang bukan Islam,” katanya.

Mengulas lanjut, Hadi berkata, amalan berpolitik Islam berbeza dengan “amalan sembahyang.”

Katanya, amalan sembahyang membabitkan antara imam dan jamaah manakala dalam politik ia melibatkan antara pemimpin Islam dan petugas-petugasnya.

“Ini dibincangkan (disentuh) dalam kita-kitab ulama... apa yang disebut adalah bersandarkan al-Quran dan berdasarkan kepada muzakarah ulama dalam kitab-kitab.

“Kitab-kitab penting dalam Islam dan perbincangan politik, al-Quran mengizinkan pembabitan bukan Islam dalam amalan politik,” kata beliau sambil menambah, Islam membenarkan kerjasama baik dengan golongan yang tidak memerangi dan berbaik dengan umat Islam.

Oleh itu katanya: “... al-Quran minta kita berlaku adil.”

Malangnya tegas beliau, aspek ini tidak difahami oleh mereka yang berfikiran sekular.

“Saya tidak tahu sama ada orang-orang Umno ini membaca kitab-kitab ini atau tidak,” katanya.

Hadi juga menjelaskan, PAS akan bekerjasama dengan bersungguh-sungguh dengan bukan Islam.

Selama ini tongkat yang dibawa (disediakan oleh) Umno-BN sudah rapuh, tongkat Cina dan India sudah rapuh, tongkat Melayu ada lagi.

“Orang Melayu dibayangi oleh kejahilan... Umno menjahilkan orang-orang Melayu, kata nak mempertahankan orang Melayu, tetapi kita Islam mahu menyelamatkan orang Melayu, bukan Melayu,” kata beliau di hadapan kira-kira 1,000 perwakilannya tentang keperluan untuk mendidik orang Melayu ekoran pembohongan yang disebarkan oleh Umno.

“Islam adalah penyelamat Melayu. Orang Melayu yang berpandangan sempit tidak boleh menyelamatkan orang Melayu,” katanya.

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3