Wednesday, June 30, 2010


Suara Perkasa lahir esok, nasib Suara Keadilan jadi tanda tanya



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/06/suara-perkasa-lahir-esok-nasib-suara.html[/postlink]
KUALA LUMPUR, 30 Jun — Ketika Suara Keadilan berhadapan dengan kemungkinan dikenakan tindakan oleh Kementerian Dalam Negeri ekoran isu Felda, Perkasa akan mengeluarkan edisi sulung akhbarnya — Suara Perkasa esok. Akhbar terbitan dua kali sebulan itu akan memasuki pasaran mulai 1 Julai, kata pemimpin kanannya.

Ia sepatutnya dilancarkan ketika mesyuarat tahunan pertama Perkasa awal tahun ini, pertubuhan bukan kerajaan Melayu yang diasaskan oleh Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali selepas pilihan raya umum ke-12 dua tahun lalu, tetapi ditangguhkan atas sebab-sebab teknikal dan logistik.

Surat khabar itu menyuarakan kepentingan Melayu dan Islam, kata Setiausaha Agung Perkasa Syed Hassan Syed Ali. Bagaimanapun beliau enggan memberikan maklumat terperinci atas alasan sidang media khas penerbitan akan diadakan petang ini.

Bagaimanapun Syed Hassan berkata, pihaknya bercadang untuk menjadikan Suara Perkasa sebagai akhbar harian pada tahun depan.

“Tahun ini kita tumpu pada edisi dwibulanan dan tahun depan ia akan dijadikan akhbar harian,” kata beliau ketika dihubungi lewat malam tadi.

Difahamkan edisi pertama akan diedarkan dalam lingkungan 50,000 naskhah. Perkasa, yang kelahirannya mendapat perhatian pelbagai pihak keras pendiriannya yang lantang dan dilihat ultra Melayu, didaftarkan pada 12 Sept 2008 sebagai badan untuk membela orang Melayu dan Bumiputera.

Pendirian Perkasa mendapat sokongan berbelah bahagi dari dalam dan luar Umno. Perkasa juga dilihat sebagai penggerak kepada penubuhan Majlis Perundingan Melayu yang dilancarkan awal Mac lalu.

Kelmarin, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Suara Keadilan berhubung laporan mendakwa Felda sudah muflis. Ia perlu menjawab surat tunjuk sebab dalam tujuh hari.

Difahamkan permit penerbitannya berakhir bulan ini dan nasibnya akan diketahui esok.

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3