Sunday, June 6, 2010


Sukarelawan: ‘Kami tak sangka dapat keluar Israel awal’



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/06/sukarelawan-kami-tak-sangka-dapat.html[/postlink]
Kepulangan sukarelawan Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hassan disambut ahli keluarga di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang hari ini. Syed Muhammad Haleem merupakan antara 12 sukarelawan yang dibebaskan oleh kerajaan Israel dalam insiden rampasan kapal Mavi Marmara yang menyertai Flotila Pembebasan bagi misi bantuan kemanusian ke Gaza

SEPANG, 6 Jun — “Kami tidak sangka dapat keluar dari Israel seawal ini. Kami rasa kami akan duduk di sana dalam sebulan, dua bulan atau mungkin setahun dua tahun lagi.”

Demikian respons ketua misi Life Line For Gaza (LL4G) Noorazman Mohd Samsuddin sebaik tiba di tanah air awal pagi ini.

“Apatah lagi kami telah diputuskan hubungan (dengan dunia) luar dengan tidak dibenarkan menghubungi sesiapa.

“Kami hanya melihat kedutaan-kedutaan negara lain masuk ke dalam penjara.

“Kami tahu Kedutaan Malaysia tidak akan masuk kerana tidak ada hubungan diplomatik (dengan Israel),” kata beliau lagi.

Berkongsi pengalaman ketika ditahan tentera Israel pada sidang akhbar di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sejurus tiba di tanah air awal pagi ini, kesemua 12 sukarelawan itu memanjatkan syukur kepada Tuhan dan berterima kasih kepada kerajaan Malaysia dan Jordan yang berusaha membawa mereka keluar dari Israel secepat mungkin.

Noorazman dan sebelas lagi sukarelawan Malaysia berada dalam kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza ketika diserang tentera Israel pada Isnin lepas, tiba di tanah air kira-kira pukul 5.40 pagi ini.

“Saya bagi pihak rakan-rakan juga mengucapkan terima kasih kepada Wisma Putra dan Kedutaan Malaysia di Jordan.

“Kami tidak sangka dapat keluar awal.

“Hero sebenarnya bukan kami. Wira yang sebenar adalah mereka yang berdoa, bersolat hajat dan berusaha untuk keluarkan kami. Kamulah sebenarnya wira-wira itu,” kata ketua biro Palestin Haluan Malaysia itu.

Beliau turut memberitahu tiga rakan aktivis, Abdul Halim Mohd Redzuan, Hasanuddin Mohd Yunus dan Jamuliddin Elias, telah ditembak dengan peluru getah dan mengenai masing-masing di bahagian kepala, belakang dan paha.

Noorazman berkata penggunaan peluru getah itu sebagai alasan semata-mata kerana terdapat bukti pihak Israel memang berniat membunuh pihak tertentu yang ada di atas Mavi Marmara.

“Saya ada bukti yang mereka mempunyai niat untuk membunuh. Menggunakan peluru getah hanya sebagai alasan sahaja.

“Mereka mempunyai senarai nama yang mereka mahu bunuh sebelum naik ke kapal.

“Kami telah menahan tiga anggota tentera dan apabila kami melakukan pemeriksaan, kami temui senarai nama berserta gambar orang-orang yang mereka mahu bunuh.

“Sesetengah daripada mereka ialah tokoh Turki dan antarabangsa... tokoh-tokoh penting dunia. Kami tidak termasuk dalam senarai sebab itu kami tidak ditembak.

“Kami hanya orang biasa. Salah seorang media Turki yang ditembak memang ada di dalam senarai itu,” katanya.

Beliau berkata ketika serangan pada waktu Subuh itu, wakil media telah menunjukkan keberanian dengan terus merakamkan kejadian itu tanpa menghiraukan keselamatan mereka walupun ketika itu dihujani peluru.

“Ketika kami diserang selepas waktu solat Subuh, rakan media telah menunjuk keberanian dan kekuatan mereka tanpa menghiraukan perkara membahayakan mereka dengan peluru ketika itu seperti hujan.

“Mereka cuba merakam sebanyak mungkin untuk tujuan memberikan kesedaran dan maklumat kepada seluruh dunia.”

Malah katanya seorang wartawan Indonesia yang dikenali sebagai Suria telah ditembak peluru hidup di dada kanannya. Namun dalam keadaan kritikal itu beliau masih cuba mendapatkan maklumat-maklumat yang ada walaupun selepas itu maklumat itu telah dirampas.

Noorazaman amat mengharapkan bantuan media untuk menekan Israel bagi menyerahkan bantuan kemanusiaan itu kepada penduduk Gaza melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Kita harapkan rakan media yang ada dapat terus membantu usaha kita untuk membebaskan penderitaan yang dialami rakyat Palestin ini.”

Dalam pada itu, 28 jam berada di dalam penjara Israel dan diasak dengan deraan mental oleh tentera Zionis tidak mematahkan semangat wartawan penyiaran Ashwad Ismail untuk terus berjuang membuka mata dunia mengenai kekejaman rejim itu.

Anak muda berusia 25 tahun dan bertugas di stesen berita Astro Awani itu berkata walaupun pengalaman yang ditempuhnya amat perit namun tanggungjawab sebagai penyalur maklumat khususnya mengenai kekejaman rejim tersebut tetap akan diteruskan.

“Misi kita belum selesai. Misi untuk tegakkan realiti masih belum dapat dilakukan. Hanya secebis sahaja konflik di Asia Barat yang dapat diketengahkan dalam misi ini,” katanya.

Walaupun kepenatan, pelukan sayang kaum keluarga yang sabar menunggu di kompleks itu jelas menceriakan mereka.

Bacaan doa selamat, nyanyian nasyid dan laungan takbir daripada orang ramai yang menyambut ketibaan mereka menguatkan lagi semangat kumpulan itu.

Mengulas lanjut, Ashwad berkata walaupun secara fizikal mereka tidak diapa-apakan oleh tentera Israel, namun deraan mental adalah memeritkan.

“Israel memang pandai dengan deraan mental. Fizikal tidak diapa-apakan tetapi mental diasak daripada pelbagai sudut.

“Kita di Malaysia jarang melawat penjara, tak pernah pun masuk penjara, tapi ini di Israel. Berada di situ sudah cukup terseksa, inikan pula menghadapi tindakan-tindakan kejam mereka,” katanya.

Walaupun misi itu dianggap gagal daripada satu aspek kerana tidak mencapai objektif untuk menghantar bekalan kepada penduduk Gaza, Ashwad berkata terdapat kejayaan lain di sebaliknya.

“Kejayaannya adalah sedikit sebanyak menjadi pencetus gelombang baru ke arah mengetepikan atau memulaukan Israel dalam lanskap geopolitik dunia.

“Sikap penjarahan dan dasar anti Islam mereka terhadap bumi Palestin sepanjang enam dekad nyata memberi kesan besar,” katanya.

Selain itu insiden tersebut juga mencetuskan tekanan hebat daripada masyarakat antarabangsa ke atas rejim menyebabkan mereka terpaksa akur.

“Bukan sahaja dari Turki, tetapi pemimpin-pemimpin Yahudi di negara-negara Eropah turut mengecam kekejaman Israel. Kita dapat lihat kapal Rachel Corrie kini tidak dikenakan tindakan ganas walaupun situasi mereka sama seperti kami.

“Terdapat cubaan merampas kapal dan dibawa ke Pelabuhan Ashdod tetapi tiada pergelutan dan pertumpahan darah berlaku,” katanya.

Bagi jurukamera Astro Awani yang turut serta dalam misi tersebut, Shamsul Kamal Abdul Latip, 43, pengalaman ketika berada dalam tahanan Israel adalah sangat memeritkan dan tidak pernah terjangkau di ingatannya akan melalui detik seperti itu.

“Kami terpaksa berjemur di tengah panas di atas kapal Israel selama 15 jam sebelum tiba ke Pelabuhan Ashdod. Pada masa itu nak minum pun susah... kawan-kawan cuba memberi minuman dalam keadaan tangan masing-masing terikat.

“Barang-barang pula seperti kamera dan peralatan lain turut dirampas. Kami ingat tak dapat balik tapi pejabat yang menguruskan barang rampasan kemudiannya memulangkannya semula kepada kami.

“Malangnya ada peralatan tersebut yang sudah rosak akibat dirampas dengan kasar oleh tentera Israel,” katanya.

Ditanya sama ada dia akan mengikuti tugasan sedemikian pada masa akan datang, Shamsul berkata perkara itu akan hanya difikirkan selepas mendapat rehat yang cukup dan fikirannya kembali tenang. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3