Monday, July 5, 2010


Kerajaan Malaysia dirayu untuk Selamatkan Yong Vui Kong



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/07/kerajaan-malaysia-dirayu-untuk.html[/postlink]

Untuk kebanyakan orang, hidup mungkin hanya bermula pada usia selepas 20 tahun. Namun, untuk Yong Vui Kong, seorang warga Sabah, hidupnya mungkin bakal ditamatkan pada usia 22 tahun. Yong melakukan kesilapan pada usia 19 tahun, ditangkap kerana mengedar 47.27 gram heroin di Singapura pada 13 Jun 2007.

Yong disabitkan hukuman gantung di Singapura pada 7 Januari 2009, di bawah Seksyen 5 (1)(a) Akta Penyalahgunaan Dadah. Yong mengemukakan rayuan, biarpun rayuan itu ditarik balik kemudiannya.

Di sebalik kesalahan yang mengundang hukuman mati ini, pelakunya merupakan mangsa kemiskinan dan penceraian keluarga. Ketika berumur tiga tahun, ibu bapa Yong bercerai, dan ibunya mengalami tekanan mental (depresi). Pada umur Yong masih seorang kanak-kanak, Yong tidak melalui zaman kanak-kanak sebagaimana yang dimiliki rakan sebayanya.

Mangsa penceraian keluarga

Yong (gambar atas, kanan) yang terpaksa bekerja di ladang kelapa sawit datuknya selepas sekolah, dibelasah seandainya terlewat pulang. Untuk memperbaiki kehidupan ibu dan dirinya, Yong meninggalkan rumah pada usia 12 tahun. Kemudian, Yong datang ke Kuala Lumpur, menjadi tukang masak sebelum meninggalkan kerja ini kerana penghinaan dan penderaan yang dialaminya.

Seterusnya, Yong diperkenalkan untuk menjaja VCD haram oleh kawannya. Akhirnya, Yong mengutip hutang, malah "menghantar hadiah" (mengedar dadah) untuk "daiko"-nya.

Menurut peguambelanya, M.Ravi, hakim juga menganggap Yong sebagai seorang yang naif, malah meminta agar pendakwaraya tidak mencadangkan hukuman yang seberat itu. Ini kerana pada peringkat awal, Yong hampir gagal menjawab soalan pendakwaraya, malah tidak tahu bahawa hukumannya sebegitu berat - hanya kerana "menghantar hadiah".

Melutut di depan ibunya

Ketika ditemuramah MerdekaReview, M.Ravi berkata Yong Vui Kong mula menerima agama Buddha setelah dimasukkan ke dalam penjara. Yong sudah mengakui kesalahannya. Yong tidak memaklumkan kepada ibunya, bahawa dirinya bakal digantung. Yong hanya memberitahu ibunya bahawa dia akan mengikut sami buddha ke tempat yang lain, dan tidak akan kembali lagi. Yong melutut di depan ibunya, sebagai tanda mengenang budi kepada ibunya.

Menurut Ravi, Yong telah menerima realiti bahawa dirinya bakal digantung. "Yong boleh pergi (meninggal dunia) bila-bila sahaja, tetapi saya terasa bahawa dirinya masih menaruh harapan, biarpun sedikit. Yong berharap dirinya masih boleh hidup," kata Ravi.

Setelah menarik balik rayuannya, Yong memohon pengampunan, tetapi ditolak. Kerajaan Singapura telah menulis surat kepada keluarganya, meminta agar mereka bersedia untuk mengendalikan pengebumian Yong. Malah, Yong Vui Kong telah berjanji untuk menderma organnya kepada Singapura.

Kenyataan Menteri sebelum penghakiman

Empat hari sebelum Yong digantung, peguambelanya M Ravi telah merayu kepada mahkamah, meskipun Yong pernah menarik balik rayuan sebelumnya. M.Ravi memohon agar mahkamah menggantung pelaksanaan hukuman tersebut. Mahkamah Rayuan telah meluluskan kedua-dua pemohonan ini pada 31 Disember 2009.

Pada 14 Mei 2010, kedua-dua pemohonan tersebut didengar, dan ditolak oleh Mahkamah Rayuan. Lantaran daripada penolakan tersebut, Yong Vui Kong memohon pengampunan Presiden Singapura, hak yang diperuntukkan kepadanya di bawah Perlembagaan Singapura. Di bawah seksyen 22 (p), Presiden berkuasa untuk meringankan hukuman (bertukar dari hukuman mati kepada penjara seumur hidup) Yong Vui Kong setelah dicadangkan kabinet. Meskipun Presiden mempunyai kuasa ini, tetapi pada hakikatnya, keputusan ini dibuat oleh kabinet.

Namun demikian, pada 9 mei 2010, iaitu empat hari sebelum penghakiman Mahkamah Rayuan, Menteri Perundangan Singapura, K Shanmugam secara terbuka berkata, "Yong Vui Kong (yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar 47 gram heroin) sangat muda. Tetapi, seandainya kami melepaskan anda (Yong), apakah mesej yang kami sampaikan? Kami menyampaikan satu mesej kepada pengedar dadah asing, pastikan anda memilih seorang pemuda, atau seorang ibu kepada anak sebagai mangsa anda, dan peralatkan mereka untuk membawa masuk dadah ke Singapura."

K.Shanmugam menambah, ini kerana orang sedemikian akan mencungkil simpati orang ramai jikalau ditangkap. "Seandainya kami tidak melaksanakan undang-undang, kita gagal menghalang kemasukan orang-orang ini," kata K.Shanmugam.

Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (CRC) yang memanggil sidang media pada hari ini berkata, kenyataan Menteri Perundangan Singapura memberi kesan kepada kes Yong Vui Kong. " Ia bercanggahan dengan prinsip keadilan, prosedur undang-undang, dan hak yang diperuntukkan kepada pesalah untuk memohon pengampunan daripada Presiden. Warga Malaysia telah menerima layanan yang tidak adil di Singapura."

CRC menambah, kenyataan Menteri Singapura ini telah menafikan hak Yong Vui Kong untuk memohon pengampunan Presiden. Ini kerana sebelum pemohonan pengampunan Yong Vui Kong dikemukakan, Menteri kabinet telah menyatakan pendirian untuk melaksanakan hukuman. Biarpun Yong Vui Kong mengemukakan pemohonannya, pemohonannya mungkin dikendalikan di bawah pengaruh prejudis. Malah, apa yang diterima Yong Vui Kong mungkin bukan keputusan Presiden, tetapi keputusan kabinet.

Kerajaan Malaysia harus campur tangan

Dalam keadaan sedemikian, kerajaan Malaysia menjadi satu-satunya harapan kepada Yong Vui Kong. Ravi merayu agar NGO dan parti politik mendesak kerajaan Malaysia untuk campur tangan dalam kes ini, mempertahankan hak warga Malaysia di negara asing melalui saluran diplomatik.

"Ini bukan satu pilihan, tetapi satu kewajipan, malah hak Yong Vui Kong yang terakhir." Demikianlah kenyataan media yang dikeluarkan oleh CRC pada hari ini, menyeru agar kerajaan Malaysia menghentikan pembunuhan haram (unlawful killing) ini dengan membawa kes ini ke mahkamah antarabangsa.


Ini bukannya kes pertama. M Ravi berkata, pada tahun 2008, kerajaan Malaysia dan PAS bertungkus lumus, melakukan segala yang mampu untuk menyelamatkan Umi Azlim Mohamad Lazim (gambar atas) yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar heroin yang seberat 2.9 kilogram. Akhirnya, Mahkamah Tinggi di Guangzhou meringankan hukuman mati kepada penjara seumur hidup.

Malah, M.Ravi menambah, saluran diplomatik sebenarnya berkesan, mengungkit kes Julia Suzanne Bohl yang juga berjaya terlepas daripada hukuman mati pada tahun 2005, kerana kerajaan Jerman mencampur tangan dalam kes ini sebermulanya dengan saluran diplomatik.

Bagaimanapun, Yong Vui Kong mungkin nampak sedikit kecerahan, apabila ahli parlimen Batu-PKR Tian Chua memaklumkan bahawa Menteri Luar Negeri Anifah Aman telah memberi jawapan yang positif untuk mencampur tangan dalam kes ini, dalam perjumpaan dengan NGO seperti SUARAM (Suara Rakyat Malaysia) dan CRC tadi.

http://merdekareview.com

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3