Thursday, September 23, 2010


Kes Bunuh Sosilawati: Bawa Usharani, Ahli Parlimen Kapar Ada Kebenaran Polis



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/09/kes-bunuh-sosilawati-bawa-usharani-ahli.html[/postlink]
BANTING 23 SEPT: Tindakan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam membawa isteri usahawan batu permata dari India yang hilang awal Januari lalu, ke lokasi pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya di Ladang Gadong, Banting, sebenarnya mendapat kebenaran Ketua Polis Daerah Kuala Langat.

Sehubungan itu, beliau kecewa dengan kenyataan melulu Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar yang secara terbuka memberi amaran kepadanya kerana dianggap mengganggu siasatan polis.

“Mana ada saya ganggu. Saya beritahu kita akan kerjasama dengan polis.Lawatan S Usharani ke lokasi pembunuh dibuat selepas dapat kebenaran polis daerah. Tidak timbul soal pencerobohan,” katanya kepada TV Selangor.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai amaran Khalid yang terpapar dalam media arus perdana dengan menganggapnya sebagai mengganggu siasatan polis.

Sebelum ini, beliau menemani isteri usahawan berkenaan, S Usharani membuat lawatan ke lokasi pembunuhan Sosilawati yang disyaki ada kaitan dengan kes kehilangan suaminya.

Kata Manikavasagam,beliau sebagai wakil rakyat berhak menghulur bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira status selagi tidak mengganggu siasatan polis.

“Sebagai ahli parlimen, saya sekadar membantu Usharani kerana dia tidak tahu berbahasa Inggeris atau bahasa Melayu. Sebagai wakil rakyat, beliau minta bantuan saya, saya tidak ganggu siasatan,” katanya.

Mengulas lanjut, Manikavasagam berkata, Usharani datang ke Malaysia bagi membantu siasatan polis berhubung kehilangan suaminya yang dilapor hilang sejak Januari lalu tanpa dibiayai mana-mana pihak.

Katanya, Uharani membuat laporan kehilangan suaminya, Allal Kathan Muturaja di Ibu Pejabat Polis Kuala Langat awal September lalu tetapi tidak menerima maklum balas.

Hanya kini, polis menyatakan penemuan kira-kira 300 tulang dan mengesyaki beberapa daripadanya mungkin milik suaminya dan menasihati Usharani dan ahli keluarganya membuat ujian DNA. - tv selangor

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3