Monday, September 6, 2010


Paderi O.young: Homoseksual bukan dosa, dan bukan penyakit



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/09/paderi-oyoung-homoseksual-bukan-dosa.html[/postlink]O.Young ialah paderi kristian yang mengumumkan secara terbuka bahawa dirinya adalah gay. Kenyataan ini sebagai maklum balas terhadap kenyataan Herman Samsudeen selaku Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, bertajuk Paderi Homoseksual: Pemuda PAS Wilayah desak kerajaan nyatakan pendirian

Sesetengah wartawan melabel gereja yang saya asaskan bersama kawan saya tiga tahun yang lalu sebagai gereja gay, yang mana ia adalah tidak tepat, dan mengelirukan. Saya ingin menjelaskan secara terbuka dan secara rasmi bahawa gereja tersebut bukan gereja gay. Ia adalah gereja untuk semua orang, tanpa mengira kelas status, identiti jantina, kaum dan etnik, atau orientasi seksual seseorang.

Kami (O.Young, gambar kiri) ingin menawarkan satu "spiritual home" untuk semua orang. Kerana kami mempercayai bahawa Tuhan adalah kasih (Love) dan Tuhan mengasihi semua orang. Etika kasih menuntut agar sesebuah gereja haruslah merupakan gereja yang inklusif, yang mana ia bukan terhad kepada golongan manusia yang tertentu dan menolak yang lain.

Sesetengah orang tersilap bahawa ia sebuah gereja gay, antara sebabnya kerana kami mengumumkan secara terbuka bahawa homoseksual bukannya satu dosa atau sejenis penyakit mental, dan kami mengiktiraf dan mengalu-alukan homoseksual, sebagaimana heteroseksual.

Kami mempercayai bahawa gereja adalah, dan seharusnya cukup terbuka untuk menerima semua orang, sama ada gay mahupun straight (yang mengamalkan seks berlainan). Memandangkan kebanyakan gereja mengutuk homoseksual, kristian gay yang enggan berbohong dalam isu siapa diri mereka, menolak untuk bersembahyang di gereja tersebut. Mereka memilih untuk bersama kami, maka ahli kami kebanyakannya terdiri daripada gay.

Kami berbeza pendapat dengan kebanyakan gereja yang konservatif, kerana kami yakin homoseksualiti hanyalah orientasi seksual, sebagaimana heteroseksualiti. Nafsu dan kelakuan homoseksual atau seks sejenis boleh ditemui dalam catatan hampir semua sejarah budaya. Ia bukan fenomena sosial yang baru. Maka ia adalah sesuatu yang terpesong dari kebenaran untuk mengatakan bahawa homoseksual adalah satu petanda baru.

Walaupun sejarah perhubungan seks sejenis sama lama seperti sejarah manusia, namun identiti homoseksual sebagai orientasi seks masih satu konsep yang baru. Oleh itu, orang kuno, termasuk penulis injil, tidak mengetahui apa-apa tentang orientasi homoseksual. Jadi, apa yang dikutuk oleh mereka tidak ada kaitan dengan cinta antara dua orang dewasa dari jantina yang sama. Orientasi seks tidak boleh diharamkan di bawah Injil.

Hampir kesemua gay boleh mengesahkan bahawa mereka tidak memilih untuk menjadi gay, sebagaimana heteroseksual juga tidak pernah memilih untuk menjadi heteroseksual. Kami percaya bahawa adalah salah untuk mengutuk homoseksual kerana ia merupakan satu kesilapan untuk mempersalahkan seseorang atas apa yang berlaku di luar kawalannya. Malah, mereka yang membantah homoseksual gagal mengolah apa salahnya homoseksual, atau apa ancamannya terhadap individu atau masyarakat, melainkan dengan alasan bertentangan dengan anutan agama. Fikrah moden harus mengiktiraf bahawa kita tidak patut mengukur orang lain dengan kayu ukur agama diri kita, atau melabel orang lain sebagai tidak bermoral hanya kerana mereka tidak berkongsi anutan agama yang sama dengan diri kita.

Oleh itu, saya amat kecewa dengan kenyataan media Herman Samsudeen (gambar kanan).

Lantaran daripada homofobia dan kejahilan, ramai orang pada zaman dahulu mendakwa bahawa homoseksual adalah sesuatu yang menyimpang dari norma. Sesetengah cuba untuk "merawat" mereka yang "dijangkiti penyakit" ini; sesetengah pula, seperti Nazi, menangkap hampir 100 ribu lelaki yang dikenalpasti oleh mereka sebagai homoseksual, dan menghantar mereka ke dalam bilik gas beracun. Kedua-dua pendekatan tersebut menyakiti homoseksual dengan ketara.

Namun, kita seharusnya lebih memahami pada hari ini, kerana akademik seksualiti manusia kebelakangan ini telah menunjukkan bahawa homoseksual adalah orientasi seksual, seperti heteroseksual. Kebanyakan manusia mencintai mereka yang berlainan seks dengan dirinya, dan ada pula yang mencintai seks sejenis. Persatuan Psikiatrik Amerika telah mengeluarkan homoseksual daripada senarai penyakit mental pada tahun 1973.

Banyak kajian akademi juga mendapati bahawa lelaki gay dan perempuan lesbian mempunyai masalah sosial atau gangguan emosi yang tidak berbeza seperti orang heteroseksual. Penilaian ini menerima kesahan secara global, dan Organisasi Kesihatan Dunia (WHO) juga tidak menyenaraikan homoseksual sebagai penyakit.

Seandainya masyarakat kita bebas daripada homofobia, dan homoseksual dibenarkan untuk menjalani hidup sebenar, dan tampil secara terbuka dan jujur sebagai homoseksual, kita akan terperanjat dengan realiti bahawa orang gay berada di mana-mana - mereka yang disanjung tinggi dalam masyarakat, sahabat handai atau saudara-mara secara personal, adalah homoseksual.

Pada zaman abad ke-21, kita perlu berdepan dengan penyelidikan dan penemuan saintifik secara jujur, dan tidak harus membiarkan tradisional dan kepercayaan kita untuk membutakan kebijaksanaan kita, dan melanjutkan diskriminasi kita.

Gereja yang saya asaskan bersama kawan saya bukan terhad untuk orang gay, maka ia bukanlah, dan tidak seharusnya menjadi gereja gay. Tetapi kami mencuba sedaya upaya untuk mendidik orang awam berkenaan homoseksual, dan meredakan jiwa homoseksual sebagai mangsa diskriminasi.

Kami telah menjadikan ia sebagai misi kami, walaupun kami menyedari sepenuhnya realiti bahawa ia merupakan gerakan sosial yang meraih populariti yang paling sedikit. Saya menyeru semua manusia yang baik dan rasional agar tidak membiarkan homoseksual bersendirian dalam perjuangan ini. Homoseksual jugalah pembayar cukai, mereka juga adalah warganegara. Justeru itu, mereka harus dilayan dengan rasa hormat, tidak lebih dan tidak kurang seperti heteroseksual. Keadilan untuk semua, seandainya keadilan bukan untuk semua, maka ia langsung bukan keadilan.

Kenyataan media oleh Herman Samsudeen selaku Pemangku Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan.

Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) mahu Kerajaan menyatakan pendirian dan tindakan yang sewajarnya kepada paderi homoseksual (Gay), O.Young Wen Feng yang cuba menyebarkan doktrin orentasi seks sejenis dinegara ini melalui gereja rahsianya.

Beliau yang kembali ke negara ini beberapa tahun lalu setelah berkhidmat di Metropolitan Community Church (MCC), New York telah menubuhkan sebuah gereja yang juga cawangan MCC di Malaysia bagi mengumpulkan dan memperjuangkan hak golongan gay dan lesbian di negara ini.

Beliau telah mengumumkan orentasi seks songsangnya bersama pasangannya Angel Ayala dan mengemukakan cadangan membuka gereja bagi golongan Gay - lesbian di negara ini pada 2007. Cadangan beliau mendapat tentangan dari Roman Catholic Church di Sabah, National Evangelical Christian Fellowship (NECF) dan the Council of Churches Malaysia (CCM). Hal ini juga mencetuskan kebimbangan rakyat yang menganut agama lain termasuk Islam ketika itu kerana ia melanggar moral dan ajaran semua agama.

Namun O.Young terus mencabar institusi masyarakat Malaysia dengan meneruskan hasratnya dan menubuhkan gereja berkenaan seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini dalam artikel yang bertajuk "Komuniti 'gay' melampaui batasannya".

Dalam buku bible-Roman dan Ezkiel sendiri menyebut tentang keburukan dan natijah hubungan sejenis ini. Islam pula jelas melarang umatnya melakukan hubungan sejenis dan ini telah dinyatakan dalam Quran melalui hukuman Allah kepada kaum Nabi Luth:

Allah berfirman : Dan Luth ketika berkata kepada kaumnya: mengapa kalian mengerjakan perbuatan faahisyah (keji) yang belum pernah dilakukan oleh seorangpun sebelum kalian. Sesungguhnya kalian mendatangi laki-laki untuk melepaskan syahwat, bukan kepada wanita; malah kalian ini kaum yang melampaui batas. Jawab kaumnya tidak lain hanya mengatakan: "Usirlah mereka dari kotamu ini, sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang berpura-pura mensucikan diri. Kemudian Kami selamatkan dia dan pengikut-pengikutnya kecuali istrinya; dia termasuk orang-orang yang tertinggal (dibinasakan). Dan Kami turunkan kepada mereka hujan (batu); maka perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang berdosa itu." .

Allah menggambarkan Azab yang menimpa kaum nabi Luth : "Maka tatkala datang azab Kami, Kami jadikan negeri kaum Luth itu yang di atas ke bawah (Kami balikkan), dan Kami hujani mereka dengan batu dari tanah yang terbakar dengan bertubi-tubi, yang diberi tanda oleh Tuhanmu, dan siksaan itu tiadalah jauh dari orang-orang yang zalim"

DPPWP (Pemangku Ketua, Herman Samsudeen, gambar kanan) tidak melihat masalah ini di pihak Kristian sahaja, tapi menganggap ia sebagai ancaman kepada masyarakat Malaysia keseluruhannya. Perkara ini seharusnya dipandang jijik oleh masyarakat dan telah terbukti kesannya apabila ramai golongan yang mengamalkan seks songsang ini dijangkiti HIV dan Aids yang juga ancaman kepada sistem kesihatan masyarakat.

Hubungan sejenis juga merosakkan keturunan manusia. Adalah satu perkara yang mustahil seorang lelaki yang berkahwin dengan seorang lelaki untuk mengandung atau seorang wanita yang berkahwin dengan wanita memperolehi zuriat. Kemunculan golongan gay dan lesbian dinegara ini adalah ancaman besar kepada pertumbuhan populasi dalam negara ini.

DPPWP mahu kerajaan mengambil tindakan berdasarkan prinsip perlembagaan dan undang-undang di negara ini yang melarang hubungan sejenis dan juga perkahwinan sejenis. Adalah menjadi prinsip keadilan di Malaysia untuk mendakwa mereka secara adil, dan kewajipan bagi kerajaan untuk menyiasat O.Young yang terang-terangan mengakui orentasi seksnya yang songsang itu.

Sumber

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3