Saturday, October 9, 2010


Askar Amerika potong jari warga Afghanistan



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/10/askar-amerika-potong-jari-warga.html[/postlink]
SEATTLE: Seorang askar Amerika Syarikat bakal dibicara selepas dituduh membunuh orang awam Afghanistan sesuka hati termasuk mengerat jari mangsa dan melakukan jenayah lain.

Sementara itu, dalam kontroversi terbaru yang memalukan Washington, laporan Senat mendedahkan kontraktor keselamatan Amerika di Afghanistan merasuah militan dan panglima perang negara itu sekali gus menjejaskan usaha memerangi Taliban.

Hakim mengarahkan perbicaraan terhadap anggota tentera terbabit, Jeremy Morlock (gambar kiri) selepas penyiasat menemui cukup bukti mengenai jenayahnya, menurut dokumen 10 muka surat mahkamah.

Morlock, 22, menjadi anggota unit infantri pertama daripada 12 orang, didakwa dan dikenakan tiga tuduhan merancang pembunuhan dan jenayah lain yang boleh membawa kepada hukuman mati jika disabitkan.

Kes itu diberi tumpuan media kerana Morlock dan rakannya dituduh mengambil gambar mayat dalam keadaan mengerikan termasuk mengerat anggota badan mangsa untuk koleksi perang.

Tuduhan itu mengembalikan semula ingatan kepada kemarahan dunia terhadap foto tahanan bogel Iraq yang diambil petugas tentera Amerika di penjara Abu Ghraib.

Laporan kes mereka kini dikendalikan pihak berkuasa mahkamah khas tentera, kata Mejar Kathleen Turner di pangkalan tentera Lewis-McChord dekat Tacoma, Washington.

Penyiasat kes, Kolonel Thomas Molloy, dalam laporannya berkata, Morlock mengaku kesalahan paling serius dalam tuduhan ke atasnya dalam tiga wawancara dan ia disokong keterangan rakannya yang lain.

Dalam satu lagi kontroversi memalukan, siasatan Jawatankuasa Perkhidmatan Bersenjata Senat mendapati militan Taliban dan panglima perang Afghanistan turut menerima wang yang diperuntukkan kepada kontraktor keselamatan persendirian.

Ia berpunca daripada kegagalan kontraktor terbabit untuk memeriksa latar belakang penerima atau melatih pengawal keselamatan dan menyalahkan pegawai Jabatan Pertahanan.

Dalam satu kes, firma keselamatan berpejabat di Britain yang diberi kontrak, menggunakan panglima perang Afghanistan untuk merekrut pengawal keselamatan sebuah pangkalan tentera udara Amerika.

Laporan itu merujuk panglima perang itu sebagai ‘penyokong Taliban.’ Seramai 26,000 petugas keselamatan persendirian, kebanyakannya warga Afghanistan, bertugas di bawah kontrak Jabatan Pertahanan Amerika sehingga Mei lalu.

Pada 3 Oktober lalu, Kementerian Dalam Negeri mengumumkan tindakan menutup lapan firma keselamatan persendirian dan merampas 400 senjata api. – Reuters/Agensi

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3