Saturday, October 9, 2010


Yusof Nor dakwa PAS buta, tidak fahami Felda



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/10/yusof-nor-dakwa-pas-buta-tidak-fahami.html[/postlink]
KUALA LUMPUR, 9 Okt – Perang mulut antara pengurusan Felda dan PAS dilihat berterusan apabila Pengerusi Felda Tan Sri Mohd Yusof Nor menyifatkan pemimpin parti Islam itu sebagai “orang buta” kononnya tidak memahami corak pentadbiran badan berkanun itu.

Beliau berkata pemimpin PAS hanya melihat peristiwa yang berlaku itu dari satu sudut sahaja.

“Bila berlaku masalah mereka hanya melihat dari satu sudut, mereka tidak lihat secara keseluruhan pentadbiran Felda.

“Kalau orang buta jumpa orang buta, mereka akan kata diri mereka dizalimi kerana dilahirkan buta. Ini adalah percakapan antara orang buta.

“Tapi kalau orang buta itu diberikan peluang untuk melihat dunia, mereka akan faham kenapa mereka dibutakan. Jadi pemimpin PAS macam inilah,” katanya.

Tambahnya, isu yang membabitkan Felda tidak akan berbangkit sekiranya semua pihak memahami pentadbiran badan berkanun itu.

“Banyak pihak tidak faham secara keseluruhan, mereka hanya tahu salahkan Felda sahaja,” kata beliau pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pemimpin Peneroka 2010 di Balai Felda di sini.

Kira-kira 700 peneroka yang hadir pada program tersebut. Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Persatuan Anak-anak Felda Kebangsaan (Anak) yang menggesa Felda menamatkan kontrak anak syarikatnya, Techno Plant Sdn Bhd yang didakwa sebagai punca kegagalan dalam memberikan pulangan memuaskan kepada peneroka.

Selain itu, Techno Plant Sdn Bhd juga gagal menepati perjanjian yang dibuat dengan peneroka termasuk dari segi tanam semula sawit, harga baja dan beberapa isu lain.

Pengerusi Anak Mazlan Aliman berkata Techno Plant Sdn Bhd yang selama ini menyelenggara kebun peneroka telah gagal memberikan pulangan lumayan yang memuaskan. Mazlan juga ahli jawatankuasa kerja PAS pusat.

“Peneroka memang tidak berpuas hati dengan apa yang dilakukan Techno Plant Sdn Bhd selama ini.

“Malah peneroka yang menguruskan kebun sendiri pendapatan mereka adalah jauh lebih tinggi daripada peneroka yang serahkan urusan kebun kepada Techno Plant Sdn Bhd.

“Jadi saya minta supaya Felda menamatkan perkhidmatan Techno Plant Sdn Bhd dan serahkan urusan kebun peneroka kepada koperasi-koperasi Felda,” katanya.

Selain PAS, Felda turut menjadi tumpuan parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang lain.

Dalam pada itu, Yusof juga menuduh pihak-pihak tertentu sengaja menggunakan peneroka untuk memecah-belahkan badan berkanun itu sambil menyifatkan tindakan itu sebagai “agenda lima tahun”.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan siapa pihak-pihak tertentu itu.

“Saya nampak satu pergerakan yang dilakukan pihak tertentu yang mahu gempur Felda bagi tujuan tertentu.

“Malaysia ada peristiwa penting dalam tempoh lima tahun, jadi bila sudah hampir dengan satu tempoh untuk mengadakan pilihan raya umum, ini yang saya nampak.

“Bagi saya, menerusi pengalaman trend ini disifatkan sebagai agenda lima tahun yang mana mereka harap dapat kutip hasil bagi tempoh lima tahun akan datang,” katanya.

Oleh itu tindakan itu boleh disifatkan sebagai agenda mempolitikkan isu Felda, kata beliau.

Yusof berkata tindakan pihak tersebut yang cuba menjatuhkan Felda dengan menggunakan peneroka dilihat sebagai bermotifkan politik serta mempunyai tujuan tersendiri.

“Pembangunan Malaysia bukan tempoh pendek, pembangunan negara bukan hanya untuk tempoh lima tahun sahaja.

“Kita melihat ia pergerakan mereka yang terdiri daripada satu kumpulan yang mempunyai kepentingan bersama sedangkan majoriti dalam Felda yang saya anggarkan sekitar 90 peratus tidak terjejas.

“Selama ini Felda bersama dengan negara, Felda juga sudah berusia 54 tahun. Kalau Felda diuruskan dengan cara salah, ia tidak dapat bertahan,” katanya.

Beliau juga menegaskan bahawa agenda Felda bukan untuk lima tahun tetapi untuk jangka masa panjang.

“Felda sudah berusia 54 tahun. Walau apa jua terjadi kita tetap mempertahankan Felda sampai bila-bila,” katanya.

Ketika ditanya apa akan terjadi kepada Felda sekiranya Barisan Nasional (BN) tewas dalam pilhan raya umum akan datang, Yusof berkata, tiada jaminan badan berkanun itu akan terus bertahan.

“Yang saya nampak jika struktur yang sedia ada ini dirombak tiada jaminan kita dapat terus bertahan bagi kumpulan yang dibela melalui Felda

“Kumpulan yang dibela ini yang asalnya tidak bertanah dan miskin. Sekarang mereka sudah ada tanah dan tidak miskin lagi tapi yang perlu kita teruskan adalah agenda generasi akan datang.

“Jadi kita tidak mahu jika ayah sudah tidak miskin lagi, kita tidak mahu anaknya jadi miskin. Mesti ada agenda berterusan supaya kita dapat kekalkannya,” katanya.

Felda sebelum ini menjadi perhatian apabila Pakatan Rakyat (PR) telah membangkitkan pelbagai isu membabitkan badan berkanun itu termasuk isu bankrap.

Malah terdapat peneroka yang mengambil tindakan undang-undang terhadap Felda kerana tidak berpuas hati dengan pentadbiran.

Felda sebelum ini terpaksa membayar RM11 juta kepada seramai 354 peneroka Felda Kemahang 3, Kelantan berhubung kes tuntutan manipulasi gred buah kelapa sawit.

Mereka menyaman Felda bagi menuntut antara RM20,000 dan RM30,000 setiap seorang sebagai ganti rugi am kerana mendakwa agensi itu telah memberikan nilai yang rendah terhadap mutu buah kelapa sawit yang mereka hasilkan antara 1996 dan 2002 sehingga menyebabkan kerugian kepada mereka.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan peneroka berhak mendapatkan bayaran tanam semula sebanyak RM1,700 seekar dari Felda walaupun mereka tidak menanam semula ladang mereka melalui badan berkanun itu.

Kaputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Mariana Yahya berikutan saman yang dikemukakan oleh 10 peneroka Felda Sungai Koyan 2 dan 3 terhadap Felda kerana enggan membuat bayaran itu kepada mereka.

Namun, hakim memutuskan, bayaran berkenaan hendaklah dibuat oleh Felda dengan syarat peneroka memenuhi garis panduan yang telah ditetapkan oleh Felda.

Hakim menolak hujah pembelaan Felda yang menyatakan peneroka tidak berhak mendapatkan jumlah itu kerana jumlah caruman mereka tidak mencukupi.

Felda mempunyai 112,635 peneroka dengan 14,882 atau 13.2 peratus daripadanya merupakan peneroka yang menguruskan sendiri kebun mereka.

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3