Friday, November 5, 2010


JHEOA Tekan Orang Asli Antara Punca Undi Merosot



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/11/jheoa-tekan-orang-asli-antara-punca.html[/postlink]GALAS 5 NOV: Tekanan fizikal terhadap Orang Asli oleh Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) di Gua Musang menjadi punca penurunan 13 peratus undi PAS merangkumi enam peti undi yang ditempatkan di kawasan itu pada Pilihan Raya Kecil(PRK)DUN Galas yang berlangsung semalam.

Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata pada sidang media selepas pengumuman keputusan pilihan raya kecil DUN itu, JHEOA diperalatkan Barisan Nasional (BN) untuk memenangi undi termasuk mengenakan kawalan ketat sepanjang kempen pilihan raya.

Tambah beliau lagi, kesan tindakan itu mengakibatkan calon PAS, Dr Zulkefli Mohamed tidak dikenali justeru tiada sambutan yang diterima akibat ancaman daripada agensi kerajaan itu.

"Kehadiran kita di Pos Bala tidak diterima langsung. Pengundi Orang Asli dikawal ketat sehinggakan petugas kita tidak dapat berhubung secara langsung. Walaupun sudah sampai ke tempat itu tapi dipagar oleh pihak jabatan dengan begitu ketat sekali sehingga menimbulkan ketakutan fizikal bukan sahaja pengundi bahkan kanak-kanak," kata beliau di Markas Induk PAS di sini malam tadi.

Keputusan rasmi Pilihan Raya DUN Galas menyaksikan kemenangan berpihak parti Barisan Nasional dengan jumlah undi majoriti 1,190 berbanding PAS. Barisan Nasional(BN) mendahului sebanyak 5,324 undi dan PAS berjumlah 4,134 undi.

Berdasarkan analisa ringkas kekalahan PAS di Galas semalam, sokongan pengundi Melayu jatuh 8 peratus berbanding Pilihan Raya Umum 2008. Sungai Terah yang dahulunya menjadi kubu kuat PAS mengalami kemerosotan undi di kalangan Melayu. Rahim berkata pengundi Melayu di seluruh daerah Galas adalah 60 peratus.

Penurunan 10 peratus (215) undi parti itu kali ini berbanding Manik Urai, 7 peratus dipandang serius jentera PAS seraya akan membuat kajian terperinci tentang cita rasa pengundi di jajahan Gua Musang itu.

"Jadi itu perlu kepada kajian kerana ia boleh jadi menyentuh peranan bukan sahaja di peringkat parti tapi di peringkat kerajaan negeri,Pejabat Tanah, Majlis Daerah Gua Musang, apa yang berlaku selama ini dan saya merasakan bahawa peluang kepimpinan parti untuk membuat kajian mengenai punca sebenar kita tewas," tambah beliau lagi.

Kata Rahim, jumlah pengundi Cina meningkat daripada 169 pada 2008 kepada 176 kali ini terutama di Pulai namun hanya mencatatkan penurunan kecil sebanyak 2.1 peratus.

Menurut Rahim, PAS tetap akur dengan keputusan pengundi justeru menolak faktor Tengku Razaleigh Hamzah dan pembangunan punca kekalahan parti itu.

"Saya mengucapkan setinggi penghargaan kepada calon yang menang dan kita akur bahawa rakyat membuat keputusan dan kita menerima keputusan dengan hati yang terbuka selain mengharapkan YB DUN Galas yang baru dapat menjalankan kerja-kerjanya sepanjang dia diberikan mandat oleh rakyat," tambah beliau lagi.

Kira-kira 200 orang hadir di luar pusat pengumpulan undi semalam walaupun hujan lebat menyaksikan pengumuman rasmi keputusan PRK di Galas semalam.

Dalam pada itu, di sebalik kemenangan BN, kerajaan PAS negeri Kelantan akan tetap meneruskan penubuhan urusetia Orang Asli untuk dijadikan platform saluran kerajaan dengan Orang Asli dalam masa terdekat.- TVS News

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3