Tuesday, December 7, 2010


Calon pilihan rakyat: BN gunakan formula Galas, Batu Sapi?



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/12/calon-pilihan-rakyat-bn-gunakan-formula.html[/postlink]
SEMPORNA, 7 Dis — Calon pilihan rakyat merupakan aspek penting yang akan ditekankan oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya akan datang bagi memestikan rakyat terus memberi mandat kepada BN untuk mentadbir negara, kata Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata perkara itu ditekankan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Konvensyen BN baru-baru ini.

“Calon yang perlu diketengahkan nanti ialah calon yang boleh berkhidmat dan diterima oleh rakyat, bukan kerana calon itu kawan kita, bukan kerana calon itu penyokong kita... itu bukan menjadi penentunya,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu juga berkata calon yang mewakili BN pada pilihan raya akan datang adalah mereka yang terpilih kerana faktor keupayaan dan keunggulannya.

“Tidak ada maknanya kita menjadi calon kalau besok nanti kita kalah,” katanya.

Mengulas lanjut, Shafie memberi contoh pemilihan calon pada pilihan raya kecil Galas di Kelantan dan Batu Sapi di Sabah baru-baru ini yang mengambil kira kehendak rakyat, yang akhirnya membawa kemenangan kepada BN.

Sementara itu mengulas isu bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo yang didakwa di mahkamah semalam, Shafie berkata beliau yakin perkara itu tidak akan menjejaskan Umno atau BN.

Pendakwaan itu juga katanya adalah bukti tidak ada siapa boleh terlepas daripada proses undang-undang di negara ini.

Shafie sebelum itu merasmikan program khatan beramai-ramai anjuran Umno Bahagian Semporna dan Persatuan Kebajikan Perubatan Islam Sabah cawangan Semporna.

Seramai 600 kanak-kanak terlibat dalam program tersebut. — Bernama

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3