Wednesday, December 22, 2010


Isu doa khutbah Jumaat: Khatib saman NST, Utusan, Ketua UMNO Tasek Gelugor



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/12/isu-doa-khutbah-jumaat-khatib-saman-nst.html[/postlink]

Zakaria Ahmad, pendakwah bebas mengambil tindakan mahkamah untuk menyaman New Straits Times Press, Utusan Melayu (M) Berhad dan mantan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (YDP MAIPP), Shabudin Yahaya merangkap ADUN Permatang Berangan dan juga merupakan Ketua UMNO Tasek Gelugor, semalam.

Tindakan saman ini dilakukan kerana Zakaria Ahmad dikaitkan dengan bacaan doa khutbah Jumaat menggunakan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng pada Ogos yang lalu oleh pihak tersebut.

Dalam saman yang difailkan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang melalui Tetuan Aswar, Simon dan Azhar itu, Zakaria mendakwa fitnah telah dilemparkan kepada beliau dalam isu membabitkan doa khutbah Jumaat yang dibaca oleh beliau di Masjid Kubang Buaya dan Masjid Padang Menora, Tasek Gelugor, Seberang Perai Utara.

Zakaria juga mendakwa dalam akhbar Berita Mingguan keluaran 22 Ogos 2010 pada mukasurat 16 dalam ruangan Nasional di bawah tajuk 'Khatib terus doakan Guan Eng' adalah kenyataan fitnah dan tidak benar.

Katanya lagi, kenyataan berbaur fitnah juga turut dilemparkan kepada beliau melalui siaran dalam akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 22 Ogos 2010 dengan perkataan "tindakan menyebut nama Guan Eng dalam doa khutbah itu seolah-olah ada agenda politik dan membawa imej beliau serta etika khutbah juga dah tak betul apabila melebihkan Guan Eng berbanding pemimpin agama Islam yang lain".

"Manakala bekas YDP MAIPP pula mengesahkan saya tidak mempunyai tauliah untuk membaca khutbah, sedangkan pada hakikatnya saya mempunyai tauliah yang dikeluarkan oleh MAIPP pada tahun 2003 lagi," jelasnya.

Zakaria Ahmad berkata, "Fitnah yang dilemparkan kepada saya ini adalah suatu perkara yang serius kerana ia melibatkan reputasi, kepercayaan dan mencalarkan imej saya sebagai seorang tokoh agama. Kebenaran adalah menjadi pegangan untuk saya terus memperjuangkannya dari diperlekehkan untuk kepentingan politik sesetengah pihak."

Sebelum ini, Ahmad Zahid Hamidi selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Pulau Pinang telah membangkitkan isu ini apabila mendakwa wujudnya khatib yang membacakan doa dalam khutbah Jumaat dengan menggantikan nama Yang Dipertuan Agong dengan nama Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Rentetan itu, Pemuda UMNO Pulau Pinang telah membuat laporan Polis di Balai Polis Butterworth, Tasek Gelugor dan juga Bayan Baru.

Manakala Zakaria turut dipanggil untuk memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Majlis Agama Islam Pulau Pinang di pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Lebuh Pantai pada 24 Ogos yang lalu. Pertemuan yang turut dihadiri oleh YDP MAIPP, Ellias Zakaria itu turut mendapat liputan luas media dan menjadi tumpuan seluruh negara apabila isu ini dipaparkan secara meluas melalui media elektronik dan media bercetak.

Zakaria Ahmad juga berkata, tindakan mahkamah yang diambil oleh beliau adalah bagi menegakkan keadilan agar masyarakat tidak lagi dengan mudah menjadikan isu ini sebagai modal politik mereka untuk meraih sokongan.

"Kita tunggu apabila kes ini disebut di Mahkamah Tinggi nanti untuk mengetahui kebenaran fitnah dan tohmahan yang dilemparkan kepada saya selama ini, " tegasnya lagi.

Nazar Hashim/Merdeka review

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3