Sunday, December 5, 2010


MB Selangor Serah Memorandum, Polis tembak gas pemedih mata dan pancutan air (Kemaskini)



[postlink]http://lpdn28.blogspot.com/2010/12/mb-selangor-serah-memorandum-polis.html[/postlink]

KUALA LUMPUR 5 DIS : Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebentar tadi menyerahkan memorandum bantahan kenaikan harga air kepada Istana Negara manakala polis terus melepaskan tembakan gas pemedih mata dan pancutan air meriam ke arah rakyat yang turut serta dalam perhimpunan raksaksa berkenaan.

Polis Simpanan Persekutuan merempuh Masjid Negara untuk melakukan tangkapan. Sekurang-kurangnya 10 orang ditangkap setakat ini.

Berikut adalah kronologi terkini.

2.58pm - Polis mula menyerbu ke dalam perkarangan Masjid Negara. Dilaporkan dua peserta ditangkap

2.55pm -Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memberitahu media, kerajaan Selangor akan menawarkan sejumlah RM6 bilion kepada konsesi air Syabas.

"Kita telah menerima surat daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang bersetuju supaya kerajaan negeri membuat tawaran penstrukturan semula air di negeri Selangor.

"Kerajaan Selangor akan menawarkan secepat mungkin kepada kementerian," kata beliau.

Keadaan masih terkawal sementara pasukan FRU kelihatan telah bersurai.

2.40pm - Dua lagi ditahan di bulatan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

2.30pm - Sedikit kekecohan berlaku apabila polis cuba menghalang Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid mengadakan sidang media di depan pintu utama Istana Negara. Tindakan polis bagaimanapun dibantah oleh Exco Selangor yang turut mengiringi Khalid menyerahkan petisyen dan memorandum, dengan alasan bahawa polis langsung tidak mengganggu ketika kumpulan bertentangan, GAPS, mengadakan sidang media di tempat yang sama sebelum itu.

Turut mengiringi Khalid ialah Yaakob Sapari, Elizabeth Wong, Xavier Jayakumar, Iskandar Abdul Samad serta Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

2.20pm - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menyerahkan memorandum dan petisyen 100,000 ribu rakyat Selangor kepada wakil istana. Beliau kini sedang memberikan kenyataan kepada wakil media. Sementara itu, lapan ditahan di hadapan Stesen Keretapi Kuala Lumpur.

2.10pm - Polis melepaskan tujuh das gas pemedih mata dan meriam bagi menghalang lautan manusia. Para peserta kini mengarah ke Stesen Keretapi Kuala Lumpur. Kereta yang dinaiki Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan pemimpin bagaimanapun dibenarkan menuju ke Istana Negara.

2.03pm - FRU melepaskan gas pemedih mata ke arah peserta dan merempuh perarakan tanpa sebarang amaran

1.55pm - Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim dalam ucapannya berkata penswastaan air pada 2004 lalu membebankan rakyat di Selangor ,Putrajaya dan Kuala Lumpur. Usaha kerajaan negeri katanya, adalah untuk menghentikan episod kerakusan rejim terdahulu demi kebajikan rakyat. Khalid juga menyeru ribuan peserta supaya berjalan berarak ek Istana dengan tenang dan berdisiplin

1.53pm - Menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan lebih 250 ribu tandatangan diperolehi bagi memorandum 'Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat' dihadapan lebih 15 ribu peserta yang membanjiri Masjid Negara

1.50pm - Pembantu Menteri Besar kelihatan sedang berunding dengan pihak polis bagi menetapkan laluan perjalanan peserta himpunan aman ke Istana Negara.

1.40pm - Menurut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiaga dan Badrul Amin, seramai 15,000 orang sudah berkumpul di Masjid Negara. Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedang menyampaikan ucapan. Dalam pada itu, isyarat baik diterima dari Istana Negara dengan menyaksikan pintu utama Istana Negara dibuka luas dan pihak polis juga dilihat memberi laluan kepada rombongan rakyat menuju ke istana.

1.10pm - Semua jalan menuju ke Istana Negara dan Masjid Negara ditutup. Sementara itu, laungan "tolak Syabas, tolak BN, hancur Syabas, hancur BN" terus bergema di pekarangan Masjid Negara.

Presiden Persatuan Mahasiswa atau Perwasis, Mohamad Izuddin Zaini memberitahu Tv Selangor, pihaknya berkumpul bersama-sama kerajaan negeri atas tiket "student power" dalam usaha menyokong kempen 'Kembalikan Hak Air kepada Rakyat'.

Lebih 400 wakil mahasiswa dari Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Unisel, Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (GAMIS), Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) turut menyertai perhimpunan pada hari ini.

1.00pm - 5 lagi peserta demo berpakaian merah sambil membawa sepanduk ditahan di Muzium Negara.

12.55pm - Lebih 10,000 mula membanjiri Masjid Negara untuk menyertai perarakan menyerahkan memorandum 'Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat' kepada pihak Istana Negara.

12.45pm - 10 ahli GAPS diketuai Hamizon Khairuddin tiba di pekarangan Istana Negara menaiki dua kenderaan MPV menyerahkan memorandum mereka kepada wakil pegawai Istana. Polis dilihat memberi kerjasama sepenuhnya dan membenarkan kedua-dua kenderaan terbabit memasuki pekarangan istana.

12.10pm- Dalam perkembangan terbaru, Exco Selangor, Elizabeth Wong menulis dalam twitternya, ADUN Kota Damansara, Dr Nasir Hashim, S. Arutchelvan dan seorang lagi anggota Parti Sosialis Malaysia (PSM) ditahan polis di KL Sentral, ketika dalam perjalanan ke Istana Negara.

Sementara itu, Penyeleras Kempen Air untuk Rakyat, Badrul Amin Bahrom melahirkan kekesalannya di atas penangkapan ketiga-tiga mereka. Menurut beliau, ini adalah usaha untuk menakut-nakutkan orang ramai bagi menyertai perhimpunan aman tersebut.

Kira-kira 3,000 rakyat mula membanjiri Masjid Negara. Turut kelihatan di pekarangan Masjid Negara ialah Badrul Hisham Shaharin, Elizabeth Wong, Mohamad Sabu, Tian Chua dan Gobind Sing Deo.

11:45am - Orang ramai kelihatan mula membanjiri Masjid Negara. Sementara itu, calon Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Badrul Hisham Shaharin yang menawarkan seramai '50 marsyal demo' memaklumkan dalam twitternya bahawa Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS) membatalkan hasrat berarak dengan berjalan kaki ke Istana Negara, sebaliknya ke sana dengan menggunakan kenderaan.

11.15am - Polis kini mengadakan sekatan jalan raya di susur keluar Sungai Besi menuju ke Istana Negara.

11:10am - Di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, suasana masih lengang. Difahamkan beberapa sekatan jalan raya dilakukan oleh pihak polis bertujuan menghalang orang ramai dari berkumpul. Antaranya di Sungai Buloh, Bestari Jaya dan Batu 3. Turut difahamkan operasi komuter di stesyen Batu 3 Shah Alam juga turut terjejas.

10.50am - Polis telah menutup Jalan Kinabalu. Kira-kira tujuh trak FRU dan sebuah trak meriam air ditempatkan di depan Istana Negara. Sekumpulan 20 anggota polis biasa turut mengawal di sekitar kawasan berkenaan. Sementara jurukamera TVS, Mohd Hanafi yang membuat lliputan di kawasan berkenaan telah ditahan dan disoalsiasat oleh sekumpulan anggotan polis sebelum dibebaskan beberapa minit kemudian.

10.30am - Kira-kira 100 anggota Unit Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) polis berada di sekitar Jalan Travers

10.00am - Seawal jam 8.30 pagi pasukan polis menggerakkan anggotanya mengawal setiap pintu masuk Masjid Negara. TVSelangor dimaklumkan, semua pintu masuk ke pekarangan masjid berkenaan ditutup dan dikawal ketat yang dirancang Kerajaan Selangor.


LIVE VIDEO STREAMING (Lintas Langsung Secara Berkala) -KLIK: http://live.tvsnews.net

0 comments:

Post a Comment

 

Bottom 1

Bottom 2

Bottom 3